Antara amalan-amalan yang mengalami tranformasi dari keadaan asal:
1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga
simati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan
seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana
Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga
simati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut
telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk
mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri
tersebut khuatir kalau-kalau mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan
oleh simati atau harta peninggalan simati yang belum dibahagikan kepada yang
berhak menurut Islam?
“Abdullah bin Ja’far berkata: Ketika tersebar tentang berita terbunuhnya
Ja’far, Nabi sallallahu ‘alaihi wa-sallam bersabda: Hendaklah kamu menyediakan
makanan untuk keluarga Ja’far, mereka telah ditimpa keadaan yang menyebukkan
(kesusahan)”
(Dihasankan oleh at-Turmizi dan di sahihkan oleh al-Hakim)
2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap
salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak
dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia
menziarah orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau
menziarah keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri
kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan
untuk ia menambah pendapatan.
3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik,
kemas dan segak tetapi bila mengadap Allah baik di rumah maupun di masjid,
pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu
perbuatan yang terbalik.
4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa
segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu,
sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang dihidang
supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.
5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah,
sangat malas. Sedangkan sebaik-baiknya solat sunat banyak dilakukan di rumah
seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.
6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang
berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan
setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah
yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa
yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?
7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri
sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun.
Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir,
maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah
amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.
8. Semua ibubapa amat bimbang kalau-kalau anak mereka gagal dalam
periksa. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya. Tapi kalau
anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar
tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen
sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok
Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar
tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih berbimbang jika
anak tidak dapat baca Al Quran atau bersolat dari tidak lulus periksa.
9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi
petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak
mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas,
tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini,
rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.
10. Seorang isteri kalau nak keluar rumah samada dengan suami atau
tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masyaAllah.
Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya, bukan berhias
untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga
kurang bahagia.
sumber: penpatah